Family

Kisah-kisah Kepulauan Singapura

Kisah-Kisah Pulau Ubin dan Pulau Tembakul

Calendar

Tarikh Terbit: 5 Jul 2022


Jangka Masa Membaca: >15mins

Tahukah anda Singapura terdiri daripada 64 buah pulau? Kebanyakannya kaya dengan sejarah dan cerita mereka tersendiri, termasuk lagenda-lagenda dan kisah-kisah rakyat. Teroka asal usul kisah Pulau Ubin dan Pulau Tembakul (Kusu Island), dan kemudian muat turun kertas aktiviti yang disediakan di bawah!


Pulau Ubin: Si Gajah, Si Khinzir dan Si Katak

Pada suatu masa dahulu, ada seekor gajah, seekor khinzir dan seekor katak yang meronda-ronda di sekitar hutan-hutan di timur laut Singapura. Pada satu hari, di kala cuaca yang sangat panas, mereka sepakat menuju ke pantai untuk menyejukkan diri mereka di dalam air.

Mereka masuk ke dalam air dengan perlahan, dan kesemuanya menghela nafas lega sebaik sahaja air yang sejuk itu menyentuh kulit mereka. Mereka sedang seronok bermain air apabila si katak tiba-tiba menoleh ke arah gajah dan berkata, “Saya rasa sayalah perenang terbaik di sini. Lagipun, saya mempunyai anggota badan yang berselaput dan kulit yang halus. Saya memang diciptakan untuk berenang!”

Si gajah mengejek si katak, sambal berkata. “Tapi awak terlalu kecil! Sayalah perenang yang lebih kuat, terutama sekali bila di lautan. Kaki saya kuat dan belalai saya membolehkan saya bernafas di atas air.” Si khinzir pula akhirnya mencelah, “Jangan ketepikan saya! Kaki saya mungkin pendek, tapi saya boleh berenang untuk jangka masa yang lama.”

Si katak memandang si gajah dan si khinzir beberapa kali, dengan penuh ketidakpercayaan. Akhirnya, dia berkata, “Mari kita selesaikan perdebatan ini dengan berlumba. Sesiapa sahaja yang sampai ke tebing laut di sebelah sana dahulu akan dinobat perenang terbaik!” Ketiga-tiga rakan haiwan itu setuju, dan kesemuanya terus bergegas ke tepian air, sambil bersiap sedia untuk melompat semula ke dalamnya. “Di garisan, sedia..mula!” teriak si khinzir dengan kuat sebaik sahaja haiwan-haiwan itu menyelam semula ke dalam air. 

Haiwan-haiwan itu berenang bersungguh-sungguh, masing-masing berhempas pulas untuk menundukkan satu sama lain. Mereka begitu asyik dengan perlumbaan mereka sendiri sehinggakan mereka langsung tidak sedar akan perubahan mendadak pada pasang surut air, yang ternyata bertentangan dengan mereka.

Si katak, selaku haiwan yang paling kecil di antara mereka, mula terasa kesan arus itu. Oh tidak, saya akan lemas, dia terfikir, sambil terkapai-kapai menghayunkan anggota badannya, dan sama sekali tidak berupaya untuk bersaing dengan si gajah dan si khinzir.

Semakin dia bertarung, semakin itulah dia menjadi penat, dan akhirnya dibawa arus, dan bertukar menjadi sebuah pulau kecil yang kini dinamakan Pulau Sekudu (Frog Island).

Si gajah dan si khinzir terlalu taksub dengan perlumbaan mereka, sehinggakan mereka tidak menyedari bahawa rakan mereka sedang dalam kesusahan. Mereka asyik maju ke hadapan dengan penuh semangat, masing-masing terlalu degil hendak mengalah walaupun kedua-duanya begitu kepenatan. Lama-kelamaan, kedua-dua haiwan itu menjadi terlalu penat dan tidak larat untuk berenang lagi, dan akhirnya pengsan di tengah-tengah lautan. Mereka terapung-apung menghala ke arah utara dan badan-badan mereka akhirnya bertukar menjadi pulau-pulau juga, membentuk Pulau Ubin kini.

Cerita ini kekal sebagai komponen utama dalam sejarah Pulau Ubin. Secara kebetulan, terdapat batu-batu di pantai timur-selatan Pulau Ubin kini, yang dikenali sebagai Batu Gajah (Elephant's Rock) dan Batu Babi (Pig's Rock) kepada penduduk-penduduknya. Terdapat juga Batu Kodok (Toad's Rock) berhampiran dengan Pulau Sekudu, yang dikenali juga sebagai Pulau Sekodok (One Toad Island) oleh para penduduk kampung.

Penghargaan istimewa buat Wan’s Ubin Journal di atas bantuan mereka dalam cerita ini. Sila baca lebih lanjut lagi mengenai lagenda ini di sini.

Pulau Tembakul: Si Nelayan dan Si Penyu

Pada suatu masa dahulu, ada dua orang lelaki yang pergi ke lautan untuk memancing. Mereka hanya mempunyai sebuat bot kecil yang diperbuat daripada kayu, yang cukup besar untuk menampung kedua-dua mereka sahaja.

Ketika mereka sedang memancing, tiba-tiba ribut melanda, dan menyebabkan ombak naik dan menghentam bot mereka yang kecil itu. Kedua-dua orang lelaki itu begitu ketakutan, lalu memegang dayung dan tepi bot mereka dengan kuat sekali.

Kedua-dua orang lelaki itu memejamkan mata mereka dalam ketakutan di kala ribut terus melanda. Ombak besar menghentam mereka, menyebabkan bot mereka terbalik dan berkecai menjadi serpihan-serpihan. Kedua-dua orang lelaki itu tercampak ke dalam laut, dan terumbang ambing dalam air laut yang bergolak itu. Mereka berupaya berpaut kepada papan-papan kayu daripada bot yang telah musnah itu, sambil menangis ketakutan di saat ombak menghanyutkan mereka.

Dari jauh, seekor penyu yang sedang berenang berhampiran ternampak dua orang lelaki yang sedang dalam kesusahan itu. Ia terperanjat dengan bahaya yang mencengkam mereka, dan cuba memikirkan apa yang boleh dilakukannya untuk meyelamatkan mereka.

Apa yang patut saya buat? Mereka akan lemas jika ribut berterusan, fikir penyu itu. Mereka berada jauh daripada darat, dan tidak ada bot lain di lautan yang boleh menyelamatkan mereka. Penyu itu berenang ke arah dua orang lelaki itu, sambil sedaya upaya memikirkan apa yang boleh dilakukannya untuk membantu mereka. Ia cuba menumpukan perhatian pada buah fikirannya, sekaligus membiarkan badannya mengembang. Akhirnya, ia berjaya. Kedua-dua orang lelaki itu merasa pelik tetapi segera naik ke darat di atas badan penyu itu, yang telah pun bertukar menjadi sebuah pulau kini.

Kedua-dua orang lelaki itu akhirnya diselamatkan oleh nelayan-nelayan lain, yang jelas terkejut dan hairan dengan kemunculan pulau itu secara tiba-tiba. Mereka sungguh terhutang budi kepada penyu itu, sehinggakan mereka kembali ke pulau itu setahun sekali sebagai tanda terima kasih mereka.  Mereka membina dua tempat ibadat di pulau itu, mengikut kepercayaan mereka, sebuah keramat Muslim dan sebuah kuil Taoist. Lama kelamaan, pulau itu menjadi tapak ziarah bagi orang-orang di seluruh wilayah ini, sekaligus mewujudkan musim ziarah Kusu pada setiap tahun, sebagaimana yang kita tahu kini.

Adakah anda terhibur dengan cerita-cerita ini? Ketahui lebih lanjut tentang kehidupan liar di Singapura dan tuliskan cerita anda sendiri dengan menggunakan kertas kerja di bawah!

Lukisan oleh: Tifanny Maulida Rasulia

Asian Myths, Legends & Folktales
Fascinating stories and colourful characters come back to life in this series for kids.
Anda masih ada 3 daripada 3 rencana percuma yang boleh dibaca pada bulan ini. Buat akaun Esplanade&Me dengan percuma atau daftar masuk untuk teruskan. DAFTAR / LOG MASUK