Family

Batu Belah Batu Bertangkup

Sebuah cerita rakyat Melayu, beserta aktiviti untuk anak-anak

Calendar

Tarikh Terbit: 26 Jul 2021


Jangka Masa Membaca: >15mins

Makanan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan kita. Ia bukan sekadar memberi kita rezeki, namun ia juga membuat kita gembira. Hidangan yang dikongsi bersama mengeratkan hubungan kita dengan orang-orang tersayang. Namun, makanan juga boleh membuat kita menjadi tamak dan angkuh. Dalam cerita rakyat popular dari Malaysia ini, Batu Belah, Batu Bertangkup, kita belajar tentang bagaimana sifat tamak seseorang terhadap makanan bertukar menjadi suatu tragedi, dan betapa pentingnya untuk berkongsi rezeki dan menghormati ibu bapa kita.

Tahukah anda cerita rakyat ini telah dijadikan sebuah filem? Baca kisahnya dan muat turun aktiviti-aktiviti di akhir cerita untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang sejarah perfileman Singapura!


Pada suatu masa dahulu, ada seorang wanita bernama Mak Tanjung yang tinggal di sebuah kampung. Dia mempunyai dua orang anak, Melur dan Pekan, yang dibesarkannya sendiri selepas kematian suaminya. Mereka menyara kehidapan dengan menenun jala dan menangkap ikan di laut. Ini diteruskan Mak Tanjung selepas pemergian suaminya.

Namun, memandangkan hanya dia seorang sahaja yang mencari nafkah untuk keluarganya, ternyata amat sukar bagi Mak Tanjung untuk memperolehi wang yang cukup untuknya dan anak-anaknya. Lantas, mereka hidup dengan berjimat-cermat dan makan apa sahaja tangkapan yang mereka dapat. Tidak sehari pun berlalu tanpa Mak Tanjung merasakan kehilangan suaminya, namun demi anak-anaknya, dia telan sahaja kesedihannya dan teruskan bekerja siang dan malam, walaupun badannya sakit dan perutnya lapar.

Mak Tanjung sangat menggemari ikan tembakul. Tetapi, ikan ini sukar didapati dan agak susah untuk ditangkap. Pada suatu hari, nasib menyebelahinya apabila dia berhasil menangkap ikan ini dengan raganya, semasa menangkap ikan di kawasan paya sungai berhampiran dengan rumahnya.

“Akhirnya!” teriak Mak Tanjung kegembiraan, “Sudah begitu lama aku impikan untuk makan ikan ini.”

Dengan rasa kesyukuran, Mak Tanjung membawa ikan itu pulang untuk dikongsi bersama anak-anaknya.

Setibanya di rumah, Mak Tanjung mula menyediakan ikan itu untuk dimasak. Alangkah gembiranya beliau apabila mendapati ada telur di dalam ikan tembakau itu—ini adalah bahagian ikan tembakul yang paling digemarinya dan jarang-jarang dapat dinikmati.

Aku tak sabar untuk kongsi ini dengan anak-anakku, fikir Mak Tanjung sendirian sambil memasak ikan dan telur ikan yang lemak dan enak rasanya dalam kuah yang direnih, menghasilkan buih-buih yang seumpama menari-nari, sekaligus mengeluarkan aroma rempah ratus yang mengharumkan di udara. Ini pasti hidangan yang paling enak yang akan dinikmatinya sejak pemergian suaminya. Ini benar-benar rezeki! Perutnya berkeroncong tanda setuju.

Selepas memasak, Mak Tanjung memanggil anak perempuannya Melur, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik.

“Aku dah potong ikan dan telur ikan kepada tiga bahagian,” kata Mak Tanjung kepada Melur. “Simpan satu bahagian untuk kamu, dan berikan satu bahagian kepada adik kamu. Tinggalkan satu bahagian lagi untuk aku. Ambil lebih ikan kalau kamu mahu, tapi tinggalkan sedikit telur ikan itu untuk aku.”

Setelah memberikan arahan kepada anak perempuannya, Mak Tanjung pergi mengemas dan mandi, meningglakan anak-anaknya sendirian dengan makanan itu.

Kedua-dua adik beradik itu merasa begitu lapar dan segera menikmati makanan itu. Adik lelakinya, Pekan, merasa terlalu lapar lantas memakan kedua-dua ikan dan telur ikan dalam sekelip mata. Tetapi, dia tetap lapar dan masih mahu makan lagi. 

Dia mula menangis. “Saya masih lapar! Saya mahu telur ikan lagi, kasi saya lebih telur ikan!”

Melur cuba memenuhi permintaan adiknya dengan memberikan bahagian telur ikannya yang belum sempat dimakan, walaupun dengan rasa berat hati. Pekan menghabiskan bahagian telur ikan kakaknya dengan cepat, tetapi tetap mahukan lebih lagi. Dia mula mengamuk dan tergolek-golek di lantai sambil meminta makanan lagi. Dalam keadaan terdesak untuk meredakan adiknya, Melur memberikan bahagian telur ikan ibunya kepada Pekan.

Apabila Mak Tanjung kembali untuk menikmati hidangannya, dia begitu hampa dan marah tatkala mendapat tahu anak-anaknya telah menghabiskan semua telur ikan, tanpa meninggalkan sedikit pun untuknya.

“Kamu… habiskan semua makanan? Tidak ada apa-apa yang tinggal untuk Ibu?” tanya dia dengan nada perlahan. Kedua-dua anaknya memandang ke arah lain.

“Saya minta maaf…” bisik Melur, “dia asyik minta lebih. Saya tak tahu nak buat apa, Ibu.”

Walaupun Mak Tanjung faham mengapa Melur memberikan Pekan telur ikannya, tiada apa pun yang dapat meredakan kekecewaan yang dirasakan jauh di lubuk hatinya. Dia cuba menahan airmatanya tetapi ia tetap bergenang dan dia tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. Dia telah bekerja keras untuk anak-anaknya dan sangat teringin untuk menikmati hidangan ini yang dia impikan sejak sekian lama. Tanpa banyak berkata-kata, Mak Tanjung berpaling ke arah lain dan tidur dengan perut yang masih berkeroncong. 

Suatu keunikan di dalam kampung yang mereka diami ialah sebuah batu misteri yang akan buka untuk menunjukkan gua yang gelap dan sangat dalam. Namun, batu ini dipercayai akan hanya membuka mulutnya kepada orang-orang yang dilanda kesedihan yang teramat sangat. Ia selalu mengundang orang-orang yang sedang dalam kedukaan dengan memanggil mereka dan membuka pintu masuknya untuk orang-orang ini berlegar-legar masuk sebelum menutup pintunya. Orang-orang ini tidak akan pernah dilihat lagi.

Mak Tanjung baring di katil sambil berpusing-pusing ke kanan dan ke kiri, penuh keresahan. Dia tidak dapat melupakan apa yang telah berlaku tadi. Dalam kesedihannya di atas perbuatan anak-anaknya itu, dia terdengar-dengar batu itu memanggil-manggil namaya. Dia cuba beberapa kali menepisnya, tetapi setelah mengenangkan perbuatan anak-anaknya itu, Mak Tanjung bangun di tengah-tengah malam dan merayau-rayau ke dalam hutan untuk menuju ke batu itu.

Setibanya beliau di batu itu, pintu masuknya yang gelap dan mencurigakan memberinya isyarat. Batu itu menguap  dan membuka mulutnya, dan Mak Tanjung terus berjalan masuk, seolah-olah dia telah dipukau, tanpa menyedari lilitan tudungnya telah terlerai dan terjatuh di luar pintu masuk gua itu. Batu itu menutup rapat pintunya, tanpa meninggalkan sebarang bayang Mak Tanjung, kecuali bekas tapak kaki dan selendangnya.

Seketika kemudian, Melur terjaga dari tidurnya, dengan merasa ketakutan. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia menoleh ke sekeliling pondok kecilnya,  hanya untuk menyedari ibunya telah pergi meninggalkannya dan adiknya. Dia memanggil-manggil ibunya, dengan harapan ibunya masih ada di situ, tetapi tiada apa pun yang kedengaran walaupun dia sedaya upaya cuba mendengar.

Melur bergegas mengejutkan Pekan, “Adik! Bangun, Ibu dah hilang!” Pekan membuka matanya, dan melihat sekelilingnya dengan rasa terkejut. Kedua-dua beradik itu segera meninggalkan pondok mereka, merayau-rayau dan memanggil-manggil ibu mereka. Mereka semakin dekat dengan hutan, apabila Pekan menoleh ke bawah dan menyedari bekas tapak kaki ibunya, yang menghala ke arah batu yang menyeramkan itu. Dia menarik tangan Melur dan mereka mula menyusur jejak tapak kaki itu. 

Kedua-dua beradik itu akhirnya sampai ke batu itu, dan terjumpa selendang ibu mereka yang tercicir dan sedikit kotor. Pintu masuk batu itu ternyata sudah lama tertutup. Mereka meronta-ronta dan menangis, dan menepuk-nepuk permukaan batu yang tertutup itu, sambil memegang erat selendang itu. Menjelang waktu pagi, kedua-dua adik beradik itu merasa sangat penat dan terpaksa menerima takdir mereka sebagai anak yatim. Mereka selamanya menyesali perbuatan mereka yang mementingkan diri sendiri.   

Pelajari lebih lanjut lagi tentang sejarah perfileman Singapura, lakarkan rekaan set anda dan buat ikan tembakul anda sendiri melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan di bawah.

Ilustrasi oleh: Nisha Menon

Anda masih ada 3 daripada 3 rencana percuma yang boleh dibaca pada bulan ini. Buat akaun Esplanade&Me dengan percuma atau daftar masuk untuk teruskan. DAFTAR / LOG MASUK