Family

Rentak Terus Bergema

Tujuh alat muzik Melayu untuk dipelajari dan satu permainan teka silang kata.

Calendar

Tarikh Terbit: 26 Jul 2021


Jangka Masa Membaca: >15mins

Pelajari tentang seni, sejarah dan budaya Melayu

Pelajari tentang tujuh alat muzik yang berasal jauh dari Semenanjung Tanah Melayu (termasuk Singapura dan Malaysia) namun kini merupakan sebahagian penting daripada tradisi persembahan seni Melayu. Kemudian, teruskan penerokaan ini dengan permainan teka silang kata di dalam talian dan cuba lihat jika anda dapat menjawab semuanya dengan tepat. 

1 | Rebana asli & Rebana dikir barat

Rebana merupakan istilah bagi gendang yang ada hanya satu muka sahaja, dan dipercayai berasal dari Timur Tengah. Ada terdapat berbagai jenis rebana. Di Singapura, rebana asli dan rebana dikir barat lebih kerap digunakan.

Rebana asli adalah salah satu alat muzik utama yang digunakan di dalam genre muzik Melayu tradisional, dan boleh didapati di dalam orkestra atau kumpulan muzik Melayu tradisional.

Rebana dikir barat boleh didapati dalam gandingan ibu and anak. Ia biasanya dimainkan dalam persembahan dikir barat. Dikir barat ialah satu bentuk nyanyian secara berkumpulan dalam budaya Melayu.

2 | Harmonium

Alat muzik ini telah dicipta kurang dari 200 tahun yang lalu oleh seorang lelaki Perancis. Harmonium telah menjelajah dari Eropah ke India, sebelum dibawa ke Malaya (Singapura dan Malaysia). Pemuzik dari rantau ini menggunakannya di dalam muzik mereka.

Harmonium merupakan sejenis alat muzik yang berasaskan logam tipis sebagai pelidahnya dan dimainkan dengan mengepam angin ke dalam ruang udaranya. Logam tipis ini merupakan sejenis bahan yang bergetar untuk menghasilkan bunyi. Ruang udaranya adalah bahagian seperti kipas pada harmonium.

Ghazal Johor banyak menggunakan alat muzik dari Timur Tengah dan Hindustan (Utara India), termasuklah alat muzik yang telah menjelajah dunia ini! 

3 | Serunai

Serunai merupakan alat muzik yang menggunakan angin dan diperbuat darpada kayu. Nama serunai ini berasal dari perkataan “shehnai”, sejenis alat muzik dari Utara India.

Alat muzik ini digunakan untuk mengiringi persembahan rakyat seperti wayang kulit Kelantan dan menora, sebuah tari-drama dari Kelantan yang masih lagi diharamkan kini, serta silat. yang merupakan sejenis seni mempertahankan diri. Ia juga adalah alat muzik yang penting dalam kehidupan orang Minang di Malaysia. Ia dimainkan sewaktu meraikan sesebuah majlis seperti majlis perkahwinan atau untuk membantu mereka mengisi masa ketika bekerja atau beristirehat. 

4 | Kompang

Jika anda tinggal di Singapura atau Malaysia, anda pasti tahu alat muzik ini. Kompang adalah sejenis gendang berbingkai yang dimainkan sebagai sebahagian daripada kumpulan muzik.

Ia adalah sejenis rebana yang berasal dari Timur Tengah dan dibawa masuk ke Malaya lebih 600 tahun yang lalu oleh pedagang India Muslim serta pedagang dan pendakwah Arab.

Di masa kini, anda boleh mendengar kemeriahan paluan kompang di majlis perkahwinan orang Melayu, yang menandakan ketibaan raja dan permaisuri sehari.

5 | Rebab

Alat muzik yang memperlihatkan gesekan tali dengan menggunakan busur ini adalah salah satu alat muzik yang merdu bunyinya dan digunakan di dalam Mak Yung (sebuah tari-drama dari Kelantan) dan persembahan wayang kulit. Rebab dipercayai berasal dari Parsi dan namanya diambil dari rabab Parsi, sejenis alat muzik.

Tahukah anda penduduk tempatan Malaysia ada memberikan nama samaran bagi rebab? Mereka menamakannya umbang, yang lahir dari perkataan “kumbang”. Nama samaran itu diberi kerana apabila dimainkan, bunyi rebab seakan-akan bunyi kumbang berdengung. Sila nilaikannya sendiri jika anda berpeluang mendengar bunyi rebab.

6 | Angklung

Walaupun angklung bukanlah alat muzik tradisional Melayu. ia merupakan alat muzik yang terkenal di Malaysia dan Singapura berabad lamanya. Angklung berasal dari Indonesia dan mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1930-an dan sekitar tahun 1960-an di Singapura. Ia menjadi popular pada tahun 60-an sehingga 70-an.

Angklung diperbuat daripada dua atau empat tiub buluh yang dilekatkan kepada bingkai buluh. Bunyi akan dihasilkan apabila angklung digerakkan ke kanan dan ke kiri. Setiap angklung akan hanya memainkan satu nota muzik dan alat muzik ini tidak pernah dimainkan secara solo. Ia selalunya membentuk sebahagian daripada kumpulan muzik yang besar dan memerlukan kerjasama. Inilah sebabnya mengapa kumpulan muzik angklung popular di sekolah-sekolah. Adakah anda mempunyai kumpulan muzik angklung di sekolah?

7 | Marwas

Marwas ialah sejenis gendang kecil dua muka yang boleh dipegang dan berasal dari Timur Tengah. Ia dipalu menggunakan satu tangan. Ia dibawa ke Malaya dan kawasan berhampirannya oleh pendakwah Muslim di sekitar kurun ke-15. 

Anda boleh melihat gendang-gendang ini jika anda menyaksikan persembahan tarian zapin Melayu, yang merupakan sejenis genre tarian yang mempunyai pengaruh Arab.  Gendang-gendang ini penting dalam muzik zapin kerana ia meberikan suntikan suasana Arab dalam muziknya. Dalam muzik zapin, biasanya terdapat empat atau lebih pemuzik marwas. Ini bermakna pemuzik marwas harus saling mendengar satu sama lain dengan teliti agar mereka dapat memainkan corak rentak yang berulang. Ianya merupakan satu paparan kerjasama yang sungguh menyeronokkan!

Lengkapkan teka silang kata

Ketahui lebih banyak trivia menarik tentang seni Melayu dengan melengkapkan teka silang kata ini. Klik di dalamnya untuk membaca bayangan yang diberikan dan taipkan jawapan anda di dalam kotak-kotak yang disediakan. 

Jawapan:

Melintang
3. angklung | 5. zapin | 7. lutut

Ke bawah
1. rebab | 2. makyung | 4. ghazal | 6. ibu

Muat turun Pek Aktiviti
Anda masih ada 3 daripada 3 rencana percuma yang boleh dibaca pada bulan ini. Buat akaun Esplanade&Me dengan percuma atau daftar masuk untuk teruskan. DAFTAR / LOG MASUK