Kepulauan Teluk Brunei
Kisah lagenda tentang pertarungan di antara dua ayam jantan
Tarikh Terbit: 29 Jun 2022
Jangka Masa Membaca: >15mins
Sebagai wilayah yang terdiri daripada banyak pulau-pulau, Asia Tenggara mempunyai banyak cerita berkaitan dengan kawasan-kawasan tanah ini. Kebanyakannya menceritakan bagaimana pulau-pulau ini terbentuk, seperti kisah lagenda dari Brunei mengenai dua pulau, Pulau Lumut-Lunting and Pulau Pilong-Pilongan. Cerita ini mengandungi sejarah penting kerana ia dikatakan berlaku sejurus sebelum terbentuknya Brunei Darussalam kini. Baca mengenainya dan ketahui bagaimana cerita ini mampu mencerminkan perasaan orang-orang di waktu itu.
Pada suatu masa dahulu di abad ke-14, Brunei Darussalam merupakan negara yang berada di bawah kerajaan dan Empayar Majapahit, dan diperintah oleh Awang Alak Betatar (kini dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah, pengasas Brunei sebagaimana yang kita kenali sekarang). Setiap tahun, negeri ini memberi penghormatan kepada raja Majapahit. Pada waktu itu, kapur barus dari Brunei dianggap sebagai yang terbaik di wilayah ini. Lantas, penghormatan tahunan ini melibatkan 40 kapal yang sarat dipenuhi dengan kargo berharga ini.
Walaupun pertarungan di antara haiwan tidak digemari kini, pertandingan sabung ayam merupakan kegiatan popular di kalangan rakyat jelata dan kerabat diraja suatu masa dahulu. Anak saudara lelaki Awang Alak Betatar, Awang Senuai, dikatakan mempunyai seekor ayam jantan yang menggerunkan yang memenangi setiap pertarungan yang melibatkannya. Ia merupakan pesaing yang garang, lantas membuatkan Awang Senuai begitu kagum dengannya. Namanya ialah Mutiara, dan tuannya sering bercakap besar mengenainya kepada sesiapa sahaja yang mahu mendengar.
Reputasi Awang Senuai dan ayam jantannya, Mutiara sangat terkenal dan akhirnya, meraih perhatian Raden Angsuka Dewam, Raja Empayar Majapahit. Dia juga memiliki seekor ayam jantan yang dinamakan Asmara, yang dikatakan setanding dengan Mutiara. Sebagai raja empayar yang sangat besar itu, Asmara dijaga dengan sangat baik oleh tuannya. Ia mempunyai reban yang istimewa dan makan daripada pinggan emas! Asmara dipercayai diberkati dengan kekuatan dan kebijaksanaan, dan ada desas-desus mengkhabarkan ia mempunyai suatu “kuasa istimewa”. Sewaktu pertama kali ia menjejakkan kaki di Brunei bersama tuannya, kokokannya kedengaran begitu kuat dan menggerunkan, sehinggakan semua ayam jantan yang lain tidak berkokok selama beberapa hari.
Raden Angsuka Dewam terdengar tentang kehadiran Mutiara, dan mula berfikir sendiri, “Hmph! Akulah raja empayar Majapahit, jadi tidak mungkin ayam jantan ini lebih baik daripada ayam jantan aku.”
Dia menghantar mesej terdahulu kepada Awang Alak Betatar dan anak saudaranya, Awang Seunai, mengemukakan cabaran kepada mereka untuk mengadakan pertandingan sabung ayam di antara Mutiara dan Asmara. Dia berikrar jikalau dia kalah, dia akan memulangkan semula 40 kapal yang berisi barangan tanda penghormatan itu, kembali kepada Brunei. Tetapi, seandainya dia menang dalam pertarungan itu, dia akan menakluki lebih banyak kawasan di Brunei dan ianya akan kekal di bawah pemerintahannya sebagai sebahagian daripada empayarnya.
Apabila Awang Alak Betatar dan anak saudaranya terdengar tentang cabaran ini, mereka merasa tertekan untuk memberi kata setuju. “Macam mana sekalipun, dialah raja, jadi saya kurang pasti jikalau kita boleh membantahnya,” fikir Alak Betatar. Awang Senuai setuju tetapi dalan diam, dia tidak sabar untuk menyahut cabaran itu. Kedua-dua lelaki itu mengalah dan bersetuju untuk bertanding dengan raja.
Dalam dua minggu seterusnya, kedua-dua Awang Senuai and Raden Angsuka Dewam melatih ayam-ayam jantan mereka tanpa jemu. Hari demi hari, mereka berdua mencabar ayam-ayam jantan yang lain untuk bertarung. Mereka membelai dan memberi lebih banyak tumpuan kepada ayam-ayam jantan mereka, lebih daripada yang pernah mereka lakukan. Sebagaimana yang diceritakan, Mutiara begitu garang dan berjaya memenangi kesemua pertarungan semasa dalam latihannya.
Akhirnya, hari pertarungan pun tiba. Penduduk kampung dari jauh dan dekat hadir untuk menyaksikan pertarungan itu. Berita itu tersebar dengan agak cepat dan orang ramai tidak sabar untuk menyaksikan pertandingan sengit ini, terutamanya jika ia mampu merubah nasib Brunei sendiri. Satu bentuk bulatan dilakarkan di tanah lapang berhampiran dengan istana dan pantai di teluk Brunei. Kedua-dua lelaki itu dan ayam-ayam jantan mereka berdiri, berhadapan satu sama lain, sambil dikerumuni orang ramai. Keadaan agak tegang, tetapi ada juga rasa teruja.
Mari jadikan ini satu pertarungan yang adil dan saksama. Semoga berjaya!” kata raja, sambil melepaskan Asmara ke dalam gelanggang pertarungan.
Awang Senuai juga segera melepaskan Mutiara ke dalam gelanggang, dan kedua-dua ayam jantan itu saling menyerang satu sama lain dengan serta merta. Penonton bersorak dengan penuh semangat, sambil mencampakkan taruhan mereka ke dalam gelanggang sementara ayam-ayam jantan itu menerkam, mematuk, mencakar dan menendang satu sama lain tanpa henti.
“Ya! Mutiara sangat kuat. Saya rasa ia akan menang,” teriak seorang penduduk kampung.
“Tidak mungkin, Asmara juga sama kuat, ia masih membalas serangan!” jawab seorang lagi dengan pantas.
Ternyata, kedua-dua ayam jantan itu merupakan saingan hebat, tanpa masing-masing menandingi satu sama lain. Awang Senuai dan Raden Angsuka Dewam memerhatikan dengan penuh debaran dari tepi sedang pertandingan itu berlarutan.
Seketika kemudian, kedua-dua ayam jantan itu pun menjadi begitu penat, masing-masing saling memberikan saingan sengit sepanjang perlarungan. Kemudian, Mutiara mencakar Asmara dengan kasar, menyebabkan ayam jantan itu mengalami kesakitan teruk. Dalam keadaan cedera parah, Asmara bergegas keluar dari gelanggang, menyebabkan raja merasa sangat kecewa. Ia menuju ke pantai dan ke dalam lautan, dan akhirnya menyerah kalah dan akur dengan luka-lukanya. Ia jatuh ke dalam laut, dan bertukar menjadi batu yang sangat besar, yang kini dikenali sebagai Pulau Pilong-Pilongan.
Namun, Mutiara masih lagi mengejar ayam jantan yang satu lagi itu dengan agresif. Apabila melihat keadaan ini, Raden Angsuka Dewam menjadi marah dan berpaling ke arah ayam jantan itu untuk melafazkan sumpahan yang berbisa. Dengan kuasanya sebagai raja empayar itu, Mutiara jatuh ke dalam lautan, dan berubah menjadi satu lagi pulau dalam lingkungan teluk Brunei, Pulau Lumut-Lunting.
Dalam kampung yang penuh bersejarah, berhampiran dengan tempat di mana lagenda ini kononnya terjadi, Kampong Ayer, terdapat kepercayaan turun-temurun dari orang-orang yang lebih tua, yang mengatakan Pulau Lumut-Lunting tidak akan pernah tenggelam walaupun betapa tinggi paras air naik. Kejadian sedemikian akan menggambarkan petanda buruk, seperti kemangkatan seorang sultan ataupun terjadinya sesuatu kejadian yang malang. Ada yang berpendapat lagenda ini simbolik dengan sejarah Brunei, memperlihatkan perjuangan demi kemerdekaan oleh negeri ini, sementara empayar Majapahit mencuba untuk mengekalkan Brunei di bawah penguasaannya.
Soalan-soalan untuk Perbincangan
1. Bagaimanakah cerita-cerita sebegini mencerminkan perspektif dan pemikiran orang-orang yang tinggal di Brunei pada waktu itu?
2. Apakah kepentingan lagenda dan cerita rakyat seperti ini?
3. Adakah terdapat cerita rakyat atau lagenda yang anda tahu, yang penting kepada anda atau orang-orang di sekeliling anda? Bincangkan dengan rakan-rakan dan keluarga anda tentang bagaimana cerita-cerita sedemikian boleh mencerminkan atau menggambarkan budaya kita.
Ingin ketahui lebih lanjut tentang empayar Majapahit? Saksikan video ini dan teroka lebih banyak lagi tentang salah satu empayar yang paling penting dalam sejarah Asia Tenggara.
Illustrasi oleh: Shekinah Prisca