Family

40 Pokok, 1 Anak Panah

Bagaimana dua orang adik-beradik lelaki mengatasi kebijaksanaan seorang raja dan ular raksasanya.

Calendar

Tarikh Terbit: 12 Aug 2020


Jangka Masa Membaca: >15mins

Di antara cereka-cereka terkenal yang diceritakan melalui wayang kulit Kelantan, termasuklah kisah pengembaraan dua orang adik-beradik lelaki yang setia, Seri Rama dan Laksamana. Melalui cereka ini, ketahui bagaimana dua adik-beradik ini bekerjasama mengalahkan seekor ular raksasa dan mengatasi kebijaksanaan seorang raja yang sangat licik. Selepas itu, cuba jawab soalan kuiz mengenai wayang kulit Kelantan! Lazimnya, kebanyakan cereka yang diceritakan dalam wayang kulit Kelantan berkisah tentang pengembaraan Seri Rama, berdasarkan sebuah epik Hindu, Ramayana.

Tersebut kisah seorang puteri yang bernama Siti Dewi.

Anak perempuan Tok Mah Siko dan Puteri Mandu Daki ini, dikagumi kerana kepintaran, keayuan dan kecantikannya.  Semua orang, dari si putera hinggalah ke gergasi mahu mengahwininya.

Dibelenggu masalah memilih pasangan untuk anaknya itu, Tok Mah Siko mendapat idea yang sangat menarik untuk menentukan calon yang sesuai. Ia merupakan sebuah pertandingan memanah yang akan mencabar kecekapan minda dan ketangkasan fizikal. Orang pertama yang berjaya memanah menembusi 40 batang pokok dengan menggunakan hanya satu anak panah sahaja, akan menjadi suami Siti Dewi.

Berita tentang pertandingan itu tersebar luas. Ia sampai ke telinga Sirat Maharaja. Apabila mendengar berita itu, dia mengarahkan keepat-empat anak lelakinya—Rama, Laksamana, Bardan dan Cardan untuk pergi ke Wad Tujuh Kedi Beremas.

Sebelum mereka bertolak, Sirat Maharaja memberitahu anak-anaknya terdapat dua jalan untuk sampai ke destinasi mereka. Mereka boleh memilih untuk mengambil jalan yang panjang tapi selamat, dan sampai ke kampung halaman Siti Dewi dalam masa 30 hari, atau mengambil jalan yang berisiko dan lebih berbahaya yang akan membawa mereka ke destinasi mereka dalam hanya satu hari.

Tanpa teragak-agak, kesemua adik-beradik itu memilih jalan yang pendek.

Setibanya mereka di jalan yang mereka pilih, keempat-empat mereka terperanjat melihat apa yang ada di hadapan mereka. Mereka harus bertempur dengan seekor belalang yang sangat besar, seorang gergasi yang menggerunkan, dan seekor badak raksasa!

Ketiga-tiga rintangan ini ternyata terlalu berat untuk Bardan dan Cardan. Mereka berdua menyerah kalah dan berpatah balik. Namun, Laksamana dan Seri Rama melawan dengan berani! Mereka berjaya mengalahkan ketiga-tiga makhluk ganas itu. 

Walaupun Laksamana tiada niat untuk memenangi pertandingan memanah itu, dia setia di sisi Seri Rama dan berjanji untuk menemaninya menuju ke kampung halaman Siti Dewi. Seri Rama dan Laksamana pun meneruskan perjalanan mereka ke Wad Tujuh Kedi Beremas.

Setibanya mereka di sana, mereka melihat tempat itu dipenuhi orang-orang dari seluruh negeri yang ingin melamar Siti Dewi. Sejauh itu, tiada seorang pun yang telah berjaya memenangi pertandingan memanah itu.

Seri Rama dan Laksamana bergelut dengan orang ramai dan meminta izin untuk menghadap Tok Mah Siko.

 “Ampun tuanku, nama saya Seri Rama dan ini adalah adik saya, Laksamana. Saya ke sini untuk memasuki pertandingan memanah itu.”

Tok Mah Siko memandang Seri Rama dari hujung rambut ke hujung kaki, lalu tertawa dengan kuat.

“Apa?” Kamu? Kamu terlalu cengkung. Lengan kamu seumpama ranting. Kamu tidak mungkin boleh mengangkat anak panah itu, apatah lagi memanah menembusi 40 batang pokok dalam satu masa!”

Seri Rama merasa hampa tetapi Laksamana pula begitu marah dengan raja kerana tidak yakin dengan keupayaan abangnya. Laksamana mengajak abangnya ke tepi lalu berkata, “Setelah berdepan dengan pelbagai rintangan di dalam hutan, pertandingan ini akan menjadi mudah sekali. Jangan berputus asa, abang. Abang boleh melakukannya.”

Dengan penuh semangat, Seri Rama pun mengangkat panah itu. Ia terasa berat, tetapi dia mengumpul semua tenaga yang ada untuk mengangkat panah itu, menarik anak panah lalu melepaskannya ke udara!

Whoosh! Anak panah itu menembusi satu…dua…tiga…sehingga ke batang pokok yang ketujuh. Kemudian, ia terhenti. Seri Rama telah gagal!

Dia mencuba lagi berulang kali tetapi gagal setiap kali. Seri Rama merasa hampa. Dia mahu menyerah kalah.

Laksamana yang biasanya menjadi si pemerhati, berbisik ke telinga abangnya, “Abang, ada sesuatu yang tidak kena. Biar saya selidik apa tipu muslihat Tok Mah Siko."

Setelah disiasat dengan teliti, Laksamana mendapat tahu bahawa Tok Mah Siko telah menanam pokok-pokok kelapa sawit itu di belakang badan seekor ular raksasa. Setiap kali seseorang melepaskan anak panah, ular itu akan bergerak sedikit, lalu menyebabkan tiada satu pun anak panah yang akan berjaya menembusi kesemua 40 batang pokok dalam garisan yang lurus.

Laksamana berjumpa abangnya semula dan memberitahunya tentang apa yang telah dia temui. Dia berkongsi rancangannya untuk mengatasi kepintaran Tok Mah Siko, dengan abangya. Laksamana akan meluruskan badan binatang itu dengan menarik ekornya, lalu dia akan mengangkat tangannya sebanyak tiga kali untuk memberi isyarat kepada abangnya. Apabila melihat isyarat itu, Seri Rama akan melepaskan anak panah ke udara.

Seri Rama setuju dengan rancangan adiknya itu.

Laksamana bergegas ke arah ekor ular itu. Dengan penuh kesungguhan, dia menarik ekor ular itu lalu mengangkat tangannya sebanyak tiga kali. Dengan itu, Seri Rama melepaskan anak panahnya ke udara! 

Whoosh! Anak panah itu menembusi setiap batang pokok! Kesemua 40 pokok! Orang ramai bersorak!

Tok Mah Siko begitu terkejut dan hairan. Dia tidak terfikir ada orang yang akan memenangi pertandingan itu. Dia tidak boleh berpatah balik pada kata-katanya, dan harus memeuhi janjinya untuk mengahwinkan anaknya kepada si pemenang.

Demikianlah bagaimana Seri Rama dan Laksamana bekerjasama untuk mengatasi kepintaran Tok Mah Siko dan mengalahkan ular itu. Hari itu merupakan titik permulaan kepada banyak lagi pengembaraan yang mendebarkan bagi kedua-dua adik-beradik ini, menghadapi bermacam-macam rintangan bersama-sama dengan berani.

Setelah anda tahu tentang salah satu cerita yang dipersembahkan melalui wayang kulit Kelantan, kini anda boleh pelajari lebih lanjut lagi tentang seni bayang-bayang ini melalui sebuah kuiz!

Anda masih ada 3 daripada 3 rencana percuma yang boleh dibaca pada bulan ini. Buat akaun Esplanade&Me dengan percuma atau daftar masuk untuk teruskan. DAFTAR / LOG MASUK